Memperoleh Keselamatan di Dunia dan di Akhirat

Sahabat yang dirahmati Allah,

Doa Rasulullah S.A.W. :

“Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar”

Maksudnya : Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka”
(Hadis Riwayat Bukhari.)

Doa ini sering kita baca selepas solat sebagai tanda kerendahan hati kita kepada Allah S.W.T., memohon dan merayu kepada Allah S.W.T. semoga dikurniakan kita kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di hari akhirat, seterusnya diberi perlindungan atau di selamatkan oleh-Nya daripada seksaan api neraka.

Kita telah membicarakan ciri-ciri kebaikan di dunia ada 14 perkara iaitu :

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT

2. Diberi kefahaman dalam agama

3. Dapat berbuat amalan soleh

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat

5. Mendapat isteri yang solehah

6. Mendapat zuriat penyejuk hati

7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan

9. Panjang umur di dalam ketaatan

10. Mendapat rezeki yang halal

11. Beroleh keimanan dan ketakwaan

12. Banyak mengingati Allah SWT

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khatimah)

Apakah pula kebaikan di hari akhirat yang kita mohon daripada Allah S.W.T. supaya kita memperolehinya?

Terdapat 8 perkara kebaikan di hari akhirat yang mana kita sangat mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. supaya Dia mengkurniakannya kepada kita semua kebaikan dan keselamatan.

Perkara-perkara tersebuta adalah seperti berikut :

1. Keselamatan daripada seksa dan azab kubur.

2. Keselamatan ketika hari kiamat dibangkitkan daripada kubur.

3. Mendapat perlindungan Arasy ketika di panggil untuk berhimpun di Padang Mahsyar.

4. Di beri buku catatan di tangan kanan.

5. Di beri minum air daripada telaga kausar.

6. Di beri syafaat oleh Rasulullah S.A.W.

7. Meniti Siratul Mustaqim secepat kilat.

8. Di benarkan memasuki syurga Allah S.W.T.

**********************************************************************************************************

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Keselamatan daripada seksa dan azab kubur.

Setiap individu yang menempuhi alam kubur wajib akan mengalami fitnah kubur. Iaitu ujian berupa pertanyaan dua malaikat Munkar dan Nakir tentang Rabbnya, agamanya dan Nabi-nya sebagaimana dijelas oleh Rasulullah S.A.W. dalam sumber yang sahih.

Dari ujian ini akan diketahui apakah kita termasuk hambaNya yang jujur keimanannya sehingga berhak mendapatkan nikmat kubur, atau apakah kita termasuk yang dusta keimanannya sehingga berhak dibalas dengan azab yang menyeksakan.

Hanya keteguhan iman yang akan menjamin keselamatan dari azab kubur. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sabda Nabi S.A.W. maksudnya :
“Jika seorang mukmin telah didudukkan di dalam kuburnya kemudian didatangi (dua malaikat dan bertanya kepadanya) maka dia akan (menjawab) dengan mengucapkan dua kalimat syahadah:

أَنْ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Itulah ‘ucapan yang teguh (القول الثابت ) sebagaimana yang tertera dalam firman Allah Ta’ala:

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

“Allah meneguhkan dengan ‘ucapan yang teguh’ kepada orang-orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.”
(Surah Ibrahim ayat 27)

Ujian yang akan kita hadapi di alam kubur merupakan ujian yang berat sama berat dengan ujian berdepan dengan fitnah al-Masih al-Dajjal di akhir zaman ini. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

“Telah diwahyukan kepadaku sungguh akan ditimpakan fitnah kepada kalian di dalam kubur-kubur kamu seperti atau hampir mirip dengan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.maksudnya :
“Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur. Kalaulah kerana aku bimbangkan kamu tidak mahu menguburkan jenazah, nescaya aku akan berdoa agar Allah memperdengarkan kepada kamu azab kubur sebagaimana apa yang aku dengar. ( Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W. juga bersabda maksudnya : “Aku tidak pernah melihat satu pemandangan yang lebih dahsyat daripada azab kubur”.
(Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn majah, dihasankan oleh al-Albani).

Oleh sebab itulah bila jenazah dikuburkan maka dianjurkan bagi kita untuk mendoakan untuk jenazah. Rasulullah S.A.W. bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لأَخِيْكُمْ وَاسْأَلُوا لَهُ التَثْبِيْتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْئَلُ

“Pohonkan keampunan untuk saudaramu, dan mohonkan untuknya keteguhan (iman), kerana sesungguhnya dia sekarang sedang ditanya.” (Sahihul Jami’).

Usaha-usaha untuk menghindari azab kubur:

1. Memantapkan keimanan kepada Allah serta mengukuhkan tauhid serta akidah dalam jiwa. Hendaklah memahami dan menghayati kalimah syahadah. Iaitu mengesakan Allah, menghindari sebarang amalan yang boleh membawa kepada syirik. Kita juga hendalklah mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. dalam kehidupan. Inilah benteng yang sebenar berdasarkan ayat al-Quran dan hadis sebelum ini. Iaitu dikurniakan ‘ucapan yang kukuh'( القول الثابت)

2. Sentiasa bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kejahatan yang dilakukan. Dosa-dosa itulah sebenarnya yang menyebabkan azab kubur sebagaimana sabda Nabi S.A.W. yang menjelaskan keadaan ahli maksiat bila didatangkan kepadanya seorang lelaki dengan rupa yang hodoh. Bila ditanya orang itu menjawab :

“Aku adalah amalanmu yang buruk. Demi Allah, tidaklah aku mengetahuimu, kecuali engkau adalah orang yang berlambat-lambat dari melakukan ketaatan kepada Allah dan bergegas kepada kemaksiatan kepada Allah. Maka Allah membalasmu dengan yang terburuk.
(Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

3. Memohon perlindungan dengan Allah dari azab kubur. Sabda baginda S.A.W :
“Mohonlah perlindungan kepada Allah dari adzab kubur (diulangi sampai 2/3 kali).” Kemudian Rasululah S.A.W. berdoa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab kubur (diulang 3 kali).”

Kita juga hendaklah mengamalkan doa yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W. pada akhir solat iaitu selepas tasyahhud sebelum salam. Iaitu doa :

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَ الْمَمَاتِ

وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab jahannam, dari azab kubur, dan dari fitnah selama hidup dan sesudah mati, serta dari fitnah al-Masih al-Dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim).

4. Membaca surah Al-Mulk

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :”Ia (surah Al-Mulk) adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur.”
(Hadis Riwayat Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)

Abu-Laits berkata: “Siapa yang ingin selamat dari siksaan kubur maka harus melazimi (melaksanakan) empat perkara dan meninggalkan empat perkara iaitu:

1.Menjaga sembahyang lima waktu

2. Banyak bersedekah

3. Banyak membaca al-Quran

4.Memperbanyak bertasbih (membaca: Subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah)

Semua yang empat ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya.

Adapun empat yang harus ditinggalkan ialah:

1.Berbohong

2.Khianat

3. Adu-domba

4. Menjaga kencing, sebab Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda: “Bersihkanlah kamu daripada air kencing, sebab umumnya siksa kubur itu berpunca daripada air kencing. (Maksudnya hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya selepas membuang air kecil.)”

Demikian beberapa cara untuk menyelamatkan diri dari azab kubur. Semoga Allah SWT merahmati dan memelihara kita semua daripada menerima azab dalam destinasi hidup kita berikutnya yang pasti kita hadapi.

Kedua : Keselamatan ketika hari kiamat dibangkitkan daripada kubur. Di pilih dan termasuk di dalam barisan ke 12 yang dirahmati Allah.

Rasulullah SAW bersabda, “Kemudian ditiuplah sangkakala, dimana tidak seorangpun tersisa kecuali semuanya akan dibinasakan. Lalu Allah SWT menurunkan hujan seperti embun atau bayang-bayang, lalu tumbuhlah jasad manusia.Kemudian sangkakala yang kedua ditiup kembali, Dan manusia pun bermunculan (bangkit) dan berdiri”.
(Hadis Riwayat Muslim).

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a menghadap Rasulullah s.a.w dan bertanya:
“WahaiRasulullah, tolong uraikan kepadaku mengenai firman Allah s.w.t. : ‘Pada saat sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris”
(Surah Naba’ ayat 18)

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.

Lalu baginda menjawab : “Wahai Muaz, engkau telah bertanya kepadaku, perkara yang amat besar, bahwa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris . Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :

BARISAN PERTAMA
Digiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati tetangganya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KEDUA
Digiring dari kubur berbentuk babi hutan. Suara dari sisi Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meninggalkan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KETIGA
Merekaberbentuk keledai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. “Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KEEMPAT
Digiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancuran keluar dari mulut mereka. “Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jual beli”

BARISAN KELIMA
Digiring dari kubur dengan bau busuk dari bangkai. Ketika itu Allah s.w.t. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan durhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula merasa takut kepada Allah s.w.t. , maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KEENAM
Digiringdari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. “Merekaadalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KETUJUH
Digiringdari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. “Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KEDELAPAN
Digiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.”Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KESEMBILAN
Digiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. “Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KESEPULUH
Digiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. “Mereka adalah orang yang durhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KESEBELAS
Digiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.”Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka…”

BARISAN KEDUA BELAS
Mereka digiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: “Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik.”

Berdoalah semoga kita menjadi barisan ke 12 iaitu mereka menjauhi perbuatan durhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat ampunan, kasih sayang dan keredaan Allah Yang Maha Pengasih.”

Ketiga : Mendapat perlindungan Arasy ketika di panggil untuk berhimpun di Padang Mahsyar.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Berpancaran peluh manusia di hari kiamat (di Padang Mahsyar) nanti kerana sangat huru hara yang mereka alami dan rasai, sehingga mereka tenggelam didalam peluh mereka yang telah mengalir.”

Terdapat lapan golongan (dari dua hadis dibawah) yang akan mendapat naungan Arasy ketika manusia kepanasan cahaya matahari sejengkal di kepala dan banjir peluh yang meneggelamkan manusia yang berdosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya (perlindungan Arasy) di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain seseorang akan mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya : “Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah S.W.T. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.”
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Berdoalah kepada Allah S.W.T semoga kita menjadi salah satu golongan yang mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti.

Keempat : Di beri buku catatan di tangan kanan.

Bagi orang-orang yang bertakwa buku cacatan diberikan melalui tangan kanannya. Apabila orang-orang itu durhaka maka bukunya akan diberikan dengan melalui tangan kirinya. Dan bagi orang-orang kafir bukunya diberikan dengan melalui arah belakang punggungnya.

Sesungguhnya pada hari perhitungan, manusia dibagi menjadi 3 tingkatan yang berbeza, iaitu:

1. Perhitungan yang mudah, mereka adala golongan orang-orang bertakwa.

2. Perhitungan yang sangat sukar, lalu orang-orang tersebut dihancurkan, mereka adalah golongan orang-orang yang kafir.

3. Golongan orang-orang yang dihitung (dihabiskan) lalu diseksa dan kemudian dibebaskan kembali, mereka adalah golongan orang-orang yang berbuat maksiat.

Dari Anas r.a pernah berkata, “ Mahukah kalian aku beritahu tentang dua hari dan dua malam yang belum pernah diketahui dan didengar oleh manusia (yang masih hidup)? Hari yang pertama adalah hari dimana datang kepadamu pembawa berita dari Allah, baik dengan membawa keredaanNya ataupun murkaNya (hari kewafatan), dan kedua iaitu hari dimana kalian dihadapkan kepada Allah untuk mengambil buku catatan amal, dengan tangan kiri atau tangan kanan. Sedangkan dua malam, adalah malam pertama kali didalam kubur dan malam dimana pagi harinya dilenyapkan tatkala terjadinya hari kiamat”

Kelima : Di beri minum air daripada telaga kausar.

Terdapat satu kolam ( حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama “Al-Kausar” yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Keenam : Di beri syafaat oleh Rasulullah S.A.W.

Diriwayatkan dari Rasulullah bahawa Anas bin Malik memohon syafa’atnya pada hari kiamat, maka baginda bersabda yang bermaksud :
“Saya akan memberikan syafa’atku untuk semua umatku.”
Ia bertanya, “Dimanakah saya harus mencarimu pada hari kiamat?”
Baginda bersabda, “Carilah saya di Shirat.”
Ia mengatakan, “Kalau saya tidak mendapatimu di Shirat?”
Baginda bersabda, “Saya berada pada Mizan.”
Ia bertanya, “Kalau saya tidak menemukan di Mizan?”
Baginda bersabda, “Carilah saya di Khaudh (Danau), saya tidak akan melangkah dari ketiga tempat ini pada hari kiamat.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dari Humaid, ia berkata : Aku mendengar Anas r.a. berkata : Saya mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila hari kiamat tiba, Aku diberi syafa’at, kemudian aku berkata : “Wahai Tuhan, masukkanlah ke syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi”. Maka mereka masuk, kemudian aku berkata : “Masukkanlah ke syurga orang yang didalam hatinya ada sedikit- dikitnya sesuatu”.
Maka Anas r.a. berkata seolah-olah saya melihat jari-jari Rasulullah S.A.W.
(Hadis Riwayat Bukhari).

Ketujuh : Meniti Siratul Mustaqim secepat kilat.

Semasa melintasi Titian Sirat (Siratul Mustaqim), terdapat pelbagai jenis manusia. Manusia pertama menjejakkan kakinya di Sirath adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda akan memimpin kumpulan-kumpulan umatnya menjadi 10 bahagian untuk melintasi Jambatan tersebut.

* Kumpulan Pertama – melintasi bagai cahaya kilat memancar

* Kumpulan Kedua – melintasi bagai angin yang kencang

* Kumpulan Ketiga – melintasi bagai kuda yang baik

* Kumpulan Keempat – melintasi bagai burung yang pantas

* Kumpulan Kelima – melintasi dalam keadaan berlari

* Kumpulan Keenam – melintasi dalam keadaan berjalan

* Kumpulan Ketujuh – berdiri dan duduk

* Kumpulan Kelapan – menarik muka mereka dengan rantai

* Kumpulan Kesembilan dan kesepuluh – tertinggal diatas Sirat dan tidak diizinkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa mereka.

Orang mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya. Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang mengepalai umat lain.

Berdoalah kepada Allah S.W.T. semoga kita menjadi kumpulan pertama yang melintasi siratul mustaqim bagai kilat memancar.

Kelapan : Di benarkan memasuki syurga Allah S.W.T.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Apabila telah datang hari kiamat, maka didatangkan 4 golongan manusia di sisi pintu syurga tanpa dihisab dan disiksa, mereka ialah ;

1. Orang alim yang mengamalkan ilmunya.
2. Seorang haji yang sewaktu menunaikan haji tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan hajinya.
3. Orang yang mati syahid di dalam peperangan.
4. Dermawan yang mengusahakan harta yang halal dan membelanjakannya di jalan Allah tanpa riyak.

Keempat-empat golongan ini berebut-rebut untuk mendahului memasuki syurga, kemudian Allah memerintahkan kepada Jibrail A.S. menghakimi mereka.

Berkata Jibrail A.S. kepada orang mati syahid, “Apakah yang telah

kamu lakukan sewaktu di dunia sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata orang yang mati syahid, “Aku telah terbunuh dalam peperangan kerana mencari keredhaan Allah.”

Berkata Jibrail A.S., “Dari siapa kamu mendapat tahu tentang pahala orang yang mati syahid?”

Orang yang mati syahid menjawab,”Aku mendengar daripada alim ulama.”

Berkata Jibrail A.S. lagi, “Jagalah kesopanan, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian Jibrail A.S. bertanya kepada yang mengerjakan haji, “Apakah yang kamu telah lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata yang berhaji,”Aku telah menunaikan haji semata-mata kerana Allah.”

Berkata Jibrail A.S., “Siapakah yang memberitahu kamu tentang pahala haji?”

Berkata yang berhaji, “Aku mendengar dari alim ulama.”

Berkata Jibrail A.S. lagi, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu
mendahului guru yang mengajar kamu.”

Berkata Jibrail A.S. kepada penderma pula, “Apakah yang kamu lakukan sewaktu kamu di dunia dulu?”

Menjawab si penderma, “Aku telah banyak menderma semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.”

Jibrail A.S. berkata lagi, “Siapakah yang memberitahumu tentang pahala orang yang menderma kerana Allah?”

Berkata si perderma, “Aku mendengarnya dari para alim ulama.”

Maka Jibrail A.S. pun berkata, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian orang alim berkata, “Ya Tuhanku, tidaklah boleh aku menghasilkan ilmu kecuali dengan sebab sifat kasih dermawan dan kebaikan orang yang dermawan itu.”

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “Telah benar kata si alim itu, bukakanlah pintu syurga supaya si dermawan masuk dahulu. Kemudian barulah orang-orang lain masuk.”

Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda, “Keutamaan orang alim di atas ahli ibadah itu seperti keutamaan saya di atas orang yang paling rendah di antara kamu.”

Allah S.W.T. berfirman, maksudnya, “Aku Maha Berilmu dan Aku suka kepada orang yang berilmu.”

Al Hassan r.a. berkata, “Tinta para ulama itu ditimbang pada hari kiamat dengan darah orang-orang mati syahid, dan tinta para ulama akan menjadi lebih berat daripada darah para syuhada.”

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jadilah engkau orang alim (yang mengajar) atau orang yang belajar atau orang yang mendengar (pelajaran). Janganlah engkau menjadi orang yang keempat, akan rosaklah engkau.”

Orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W., “Amal apakah yang paling
utama?”

Rasulullah S.A.W. menjawab, “Berilmu tentang Allah.”

Inilah kelebihan seorang derwawan yang ikhlas dia akan masuk syurga sebelum orang alim, orang ahli ibadah dan orang mati syahid.

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah S.A.W. lagi, “Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan kepada keturunan anak-anak Adam lapan perkara, dan dari lapan itu empat perkara bagi penghuni syurga, iaitu:

1. Wajah yang manis dan berseri-seri.

2. Tutur kata yang bersopan.

3. Hati yang bertaqwa kepada Allah.

4. Tangan yang dermawan.

Sahabat yang di kasihi,
Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. untuk mendapat kebaikan di hari akhirat iaitu meragkumi lapan perkara penting seperti dihuraikan di atas. Semoga kita mendapat kejayaan yang paling tinggi dan utama iaitu memasuki syurga Allah S.W.T. Mohonlah kepada Allah S.W.T. supaya kita dapat memasuki syurga tanpa hisab, jika di hisab sekali pun biarlah dengan hisab yang mudah dan meniti siratul mustaqim pantas seperti kilat. Amin.

Sumber: abubasyer.blogspot.com

Disunting oleh: Murabbiy

This entry was posted in Akhlak, Aqidah, Kisah teladan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s